Ia mungkin dinamakan hotdog jika ia dicipta di USA. Bagaimanapun, sekitar lima kurun yang lalu orang Jepun telah memberikannya nama yang lebih elegan. Kini, pedagang seluruh dunia menggunakan candlestick Jepun untuk menganalisis pasaran.
Signal pasaran yang unik dan kelebihan visual candlestick Jepun adalah sebab yang paling utama mengapa pedagang gemar menggunakannya untuk analisis pasaran. Jika anda ingin pelajari rahsia di sebalik carta candlestick dan meramalkan tanda-tanda penyongsangan trend dengan mengesan pola candlestick, kursus ini untuk anda.
Selepas berjaya menamatkan kursus ini, anda akan:
Menguasai jenis-jenis candlestick yang utama;
Mengenal pasti pola candlestick dan mentafsir maksudnya;
Pelajari strategi perdagangan yang berkesan dengan pola candlestick.
Orak langkah pertama anda dalam memahami kemahiran dan pengetahuan yang dicipta oleh sensei-sensei Jepun!
Apakah itu candlestick?
Candlestick Jepun ialah unsur teras carta candlestick. Setiap batang candlestick menunjukkan dinamik harga dalam suatu tempoh tertentu.
Buka rangka masa mingguan. Setiap batang candlestick di situ menunjukkan perubahan harga dalam tempoh 1 minggu. Jadi, begitulah gelagat pasaran dari Isnin hingga Jumaat. Sekarang pergi ke carta 5 minit. Dapatkah anda lihat candlestick berayun ke atas dan ke bawah? Pada carta ini, setiap satu batang candlestick menunjukkan perubahan harga dalam tempoh masa 5 minit.
Setiap batang candlestick terdiri daripada tiga bahagian utama.
Badan (tubuh) – bahagian yang tebal pada candlestick. Ini adalah kawasan di antara harga pembukaan dan penutupan;
Bayang atas (sumbu, ekor, jambul) – garis menegak halus di atas badan. Ia menunjukkan paras tertinggi (harga maksimum) yang dicapai di dalam tempoh yang diwakili oleh candlestick;
Bayang bawah (sumbu, ekor) – garisan menegak di bawah badan. Ia menunjukkan paras terendah (harga minimum) yang dicapai dalam tempoh yang diwakili oleh candlestick.
Jika harga naik dalam tempoh tersebut, lilin biasanya diwarnakan putih atau hijau. Dalam kes ini, harga pembukaan terletak di bahagian bawah badan dan harga penutupan terletak di bahagian atasnya. Candlestick ini dikatakan bullish.
Jika harga jatuh dalam tempoh tersebut, candlestick biasanya diwarnakan hitam atau merah. Dalam kes ini, harga pembukaan terletak di bahagian atas badan dan harga penutupan terletak di bahagian bawahnya. Candlestick seperti ini dikatakan bearish.
"Di Internet, Saya lihat ada banyak sekali carta candlestick. Anehnya, ia semua dalam berbagai-bagai warna. Kadang-kadang, saya terjumpa candlestick hitam dan putih, pada masa lain – hijau dan merah. Adakah warna pada candlestick benar-benar penting?"
Sejujurnya, terserah sepenuhnya di tangan anda untuk memutuskan bagaimana hendak mewarnakan candlestick di carta anda. Namun, anda perlu tentukan dua warna yang berbeza untuk candlestick bullish dan bearish. Di FBS, kami menggunakan hijau untuk candlestick bullish, dan merah untuk candlestick bearish.
Carta candlestick
Walaupun carta candlestick dan saudara Amerikanya – carta bar – seakan-akan sama kerana kedua-duanya menggunakan data yang sama, mereka sebenarnya berbeza. Sila perhatikan gambar di bawah, di mana kami meletakkan carta bar (di sebelah kiri), dan carta candlestick (di sebelah kanan).
Carta candlestick lebih bermaklumat berbanding carta bar. Saksikan sendiri: tubuh candlestick memberikan kita gambaran visual tentang situasi pasaran. Jika badan candlestick panjang, ia menunjukkan sesi yang sangat aktif. Sebaliknya, candlestick yang bertubuh kecil menggambarkan pasaran yang tenang. Pedagang memberikan tumpuan yang lebih kepada bentuk tubuh candlestick dan saiz bayang-bayangnya, kerana ia berupaya menyingkap semua rahsia yang tersembunyi di sebalik gambaran pasaran.
"Saya masih fikir tidak banyak perbezaan antara carta bar dan carta candlestick. Bolehkah anda memberikan contoh yang jelas tentang keunggulan carta candlestick berbanding carta bar?"
Mari kita lihat carta mingguan EURUSD. Kami telah tandakan tempoh pengukuhan horizontal di dalam sebuah segi empat tepat. Dengan carta bar, hampir mustahil untuk melihat bar-bar yang terkandung dalam segi empat tepat ini. Sebaliknya, carta candlestick memberi kita gambaran yang jelas. Kita dapat melihat bahawa terdapat lebih banyak candlestick hijau daripada yang merah di dalam pola tersebut. Dengan kuantiti candlestick yang begitu banyak di dalam pola berkenaan, ktia memperoleh pengesahan tambahan tentang momentum kenaikan harga selanjutnya.
Dalam bahagian seterusnya pelajaran ini, kita akan memerhatikan jenis-jenis candlestick yang utama dan lihat apa yang boleh mereka beritahu kepada kita tentang harga.
Jenis-jenis candlestick
Seperti yang telah dinyatakan di atas, bentuk dan saiz candlestick boleh memberitahu kita banyak perkara tentang fitrah aksi harga. Pedagang dan pelabur mentakrifkan beberapa jenis candlestick yang utama, setiap satunya dengan ciri-ciri uniknya sendiri. Jangan takut; mereka sebenarnya mudah dikesan!
Shaven head dan shaven bottom
Jika candlestick tidak mempunyai ekor atas, pedagang memanggilnya sebagai candlestick "shaven head" (berkepala gondol). Ia cenderung menunjukkan dinamik yang bearish di pasaran.
Sebaliknya, candlestick tanpa bayang bawah dikenali sebagai "shaven bottom". Candlestick jenis ini menunjukkan bahawa para pembeli sedang terus mengasak.
Anda boleh melihat contoh pola-pola ini pada gambar di bawah.
Spinning tops
Candlestick yang mempunyai tubuh yang kecil dan bayang-bayang atas dan bawah yang panjang dipanggil "spinning top" (gasing). Spinning top menandakan ketidakpastian di pasaran: kedua-dua bulls dan bears aktif, tetapi tiada pihak yang berjaya mendominasi pasaran.
Selepas kenaikan yang berpanjangan atau candlestick bullish yang panjang, spinning top menunjukkan pelemahan di kalangan para pembeli dan mungkin akan berlaku perubahan atau gangguan pada trend.
Selepas kemerosotan lama berlarutan atau candlestick bearish yang panjang, spinning top menunjukkan pelemahan di kalangan para penjual dan mungkin akan berlaku perubahan atau gangguan pada trend.
Pada carta H4 IBM, beberapa spinning top memberi isyarat kemungkinan perubahan arah gerakan pasaran.
Marubozu
Sekarang bayangkan satu candlestick yang mempunyai badan yang sangat tebal dan tiada bayang atas atau bawah. Candlestick ini mempunyai nama yang sangat Jepun – Marubozu.
Marubozu bullish terbentuk apabila harga pembukaan sama dengan harga minimum dan harga penutupan sama dengan harga maksimum. Ia menunjukkan bahawa pembeli mengawal aksi harga sepanjang tempoh tersebut.
Marubozu bearish terbentuk apabila harga pembukaan sama dengan harga maksimum dan harga penutupan sama dengan harga minimum. Ia menunjukkan para penjual mengawal aksi harga.
Pada carta M30 saham WPP, kewujudan dua candlestick Marubozu menunjukkan kekuatan trend bullish.
Candlestick dengan bayang-bayang kontot
Salah satu jenis candlestick yang paling lazim ialah candlestick yang mempunyai bayang-bayang yang kontot. Candlestick yang mempunyai bayang-bayang kontot menunjukkan bahawa kebanyakan aksi perdagangan terhad di kawasan berhampiran harga pembukaan dan dan penutupan.
Pada carta harian EURUSD di bawah, candlestick dengan bayang-bayang kontot membentuk uptrend.
Candlestick dengan bayang atas yang panjang
Candlestick dengan bayang atas yang panjang dan bayang bawah yang pendek menunjukkan bahawa pembeli mendominasi sesi, tetapi penjual berjaya menarik harga turun dari kawasan tinggi pada penghujung tempoh tersebut. Candlestick sedemikian biasanya diikuti dengan penurunan harga.
Candlestick dengan bayang bawah yang panjang
Begitu juga sebaliknya, candlestick dengan bayang bawah yang panjang menunjukkan bahawa penjual mendominasi sesi, tetapi harga berjaya ditutup lebih tinggi. Harga seringkali naik selepas candlestick seperti ini.
Pada carta harian EURUSD di bawah, kita boleh melihat candlestick dengan bayang-bayang bawah dan atas yang panjang.
Doji
Candlestick dengan badan yang ultra-kecil (harga buka dan tutup hampir sama) dipanggil "doji". Jika candlestick ini terbentuk, kedua-dua bulls mahupun bears gagal menguasai pasaran. Pasaran tidak menentu. Candlestick doji sememangnya agak rumit. Secara sendiri, ia tidak memberitahu kita banyak perkara. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi indikator penyongsangan yang signifikan, jika syarat tertentu dipenuhi di pasaran.
"Oh, ini hebat sekali! Tolong beritahu saya, bilakah ia menandakan penyongsangan arah?"
Secara umumnya, candlestick doji menjadi candlestick penyongsangan arah apabila syarat-syarat berikut dipenuhi:
Doji terbentuk selepas satu jujukan candlestick bullish dengan badan yang panjang-panjang (ketika uptrend) atau selepas satu jujukan candlestick bearish dengan badan yang panjang-panjang (ketika downtrend). Biasanya, ia mengisyaratkan pelemahan trend;
Candlestick-candlestick selepas doji mengesahkan penyongsangan (lihat pelajaran "Pola candlestick penyongsangan”);
Keadaan pasaran sudah terlebih dibeli (overbought) atau sudah terlebih dijual (oversold).
Sebagai contoh, pada carta M30 AUDJPY, candlestick doji telah terbentuk dan menunjukkan penyongsangan bearish.
Menurut karya-karya penulisan klasik yang mengkhusus tentang candlestick, ada empat jenis doji yang boleh ditemui. Mari lihat doji-doji tersebut di dalam gambar di bawah.
Long-legged doji (doji berkaki panjang) mempunyai bayang-bayang atas dan bawah yang panjang yang hampir sama panjang dan mencerminkan keraguan yang besar di pasaran.
Dragonfly doji (doji pepatung) ialah pola penyongsangan bullish yang signifikan yang kebanyakannya terbentuk pada penghujung downtrend.
Gravestone doji (doji batu nisan) ialah corak penyongsangan bearish yang signifikan yang kebiasaannya terbentuk di bahagian atas uptrend.
Four-price doji (doji empat harga) sangat jarang berlaku dan melambangkan ketidakpastian pedagang tentang arah pasaran secara total dan sepenuh-penuhnya.
Dalam kajian Barat pertama yang didedikasikan untuk candlestick Jepun, Steve Nison telah mentakrifkan Northern Doji (Doji Utara) dan Southern Doji (Doji Selatan). Northern Doji memperihalkan tentang doji sewaktu downtrend, dan Southern Doji – doji semasa uptrend.
Candlestick doji lebih relevan jika ia sebahagian daripada formasi pola candlestick. Para pedagang Jepun telah mentakrifkan pelbagai jenis pola candlestick yang membantu mereka meramalkan pergerakan pasaran yang selanjutnya.
Sekarang anda sudah mengenali jenis-jenis candlestick yang utama yang terbentuk di pasaran. Mari kita ulangkaji pengetahuan anda.
Ringkasan pelajaran
Candlestick adalah elemen-elemen di carta candlestick. Suatu candlestick terdiri daripada bayang atas, bayang bawah, serta badan;
Candlestick membantu meramalkan kekuatan semasa trend, boleh berfungsi sebagai aras sokongan atau rintangan, dan memberi isyarat kemungkinan perubahan arah pasaran;
Ada pelbagai jenis candlestick: shaven head dan shaven bottom, spinning tops, candlestick dengan bayang yang panjang dan bayang yang pendek, Marubozu, dan doji;
Candlestick doji menandakan wujud keraguan di pasaran. Ia sering dimasukkan ke dalam formasi pola candlestick yang mengisyaratkan kemungkinan perubahan arah trend.
Seterusnya
Dalam pelajaran seterusnya, kita akan meninjau pola-pola candlestick yang paling terkenal dengan terperinci. Anda berminat? Teruskan pembelajaran anda!