Konsep sokongan dan rintangan adalah penting untuk pedagang. Sokongan dan rintangan mewakili kawasan di mana aksi harga dijangka menghadapi halangan. Mari kita kaji dengan lebih terperinci.
Sokongan adalah satu aras harga di mana penurunan harga cenderung memperlahan atau menyongsang arah. Ini bermaksud harga lebih cenderung untuk "melantun" naik semula di aras ini, berbanding menerobos terus ke bawah. Namun, seandainya harga turun melepasi aras ini, ia cenderung untuk terus turun sehingga bertemu aras sokongan yang lain.
Rintangan adalah satu aras harga di mana harga yang sedang meningkat akan mulai memperlahan atau menyongsang arah. Harta lebih cenderung memantul ke bawah semula di aras ini, berbanding menembus ke atas. Namun, penembusan melepasi aras ini memacu harga untuk terus naik lagi sehinggalah ia menemui aras rintangan seterusnya.
Bagaimana cara berdagang?
Sokongan dan rintangan membolehkan pedagang membimbing diri melalui pasaran. Selepas menandakan aras ini pada carta, anda akan melihat struktur pasaran dan boleh meramal arah dan saiz pergerakan harga seterusnya.
Idea di sebalik ini adalah aras-aras ini cenderung menghentikan aksi harga dan menyebabkan penyongsangan arah. Akibatnya, pendekatan lazim adalah untuk membuka dagangan beli pada aras sokongan dan dagangan jual pada aras rintangan. Aras sokongan dan rintangan juga memberi bayangan kepada pedagang tentang bila untuk menutup dagangan. Oleh demikian, jika anda mempunyai posisi jual terbuka dan harga menghampiri aras sokongan, anda boleh pertimbangkan untuk menutup dagangan anda. Perkara yang sama untuk dagangan beli – apabila harga menghampiri aras rintangan, ini mungkin masa untuk menutup dagangan anda.
Sokongan dan rintangan boleh ditemui dalam setiap rangka masa. Namun, sentiasa ingat bahawa semakin besar rangka masa, semakin penting aras sokongan/rintangan. Selain itu, walaupun kita bercakap tentang aras di sini, perdagangan bukanlah sains jitu, oleh demikian, anda harus menganggap sokongan dan rintangan sebagai satu kawasan. Apabila anda menentukan sokongan dan rintangan, anda perlu menyertakan beberapa pip di sekelilingnya. Ini akan membantu anda membuat dagangna yang lebih tepat.
Bagaimana cara melukis garisan sokongan dan rintangan ke arah menaik
Sokongan dan rintangan hadir dalam pelbagai rupa. Pertama sekali, terdapat garisan trend pepenjuru. Suatu garisan trend menyambungkan harga-harga tertinggi dan membataskan trend yang cenderung bergerak ke atas. Di dalam kes ini, garisan trend ini dipanggil garisan rintangan. Suatu garisan trend juga boleh dilukiskan merentasi harga-harga terendah di carta harga dan menghadkan aksi harga yang cenderung bergerak ke arah bawah. Garisan yang begini dipanggil garisan sokongan.
Garisan sokongan dan rintangan boleh dilukis baik untuk uptrend mahu pun downtrend. Anda perlukan sekurang-kurangnya dua harga tinggi atau dua harga rendah agar anda boleh lukiskan garisan trend menerusi titik-titik tersebut. Anda boleh dapatkan lebih banyak maklumat tentang garisan trend.
Memandangkan pasaran sentiasa bergerak, garis dan aras sokongan dan rintangan sering bertukar tempat. Seperti yang dilihat dalam gambarajah di bawah, selepas harga jatuh ke bawah garis sokongan, ia mula bertindak sebagai garis rintangan.
Aras sokongan dan rintangan horizontal
Terdapat juga aras sokongan dan rintangan horizontal. Salah satu cara yang paling ringkas dan efektif adalah dengan membuat garisan yang melintasi harga-harga tertinggi dan terendah silam di carta harga:
Pedagang lain yang berpengalaman juga menggunakan purata bergerak (moving averages), aras Fibonacci, titik pivot , dsb, untuk mengenal pasti aras sokongan dan rintangan.